Saturday, December 11, 2010

IBLIS DAN SEKSAANYA

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Saya bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan kelapangan dan sedikit kemudahan, ingin saya manfaatkan dengan menyalin satu bab yang terkandung dalam kitab MUKASHAFAH AL QULUB (Penenang Jiwa) karangan Hujatul Islam Imam Al-Ghazali, rahimahu Allah.

Secara peribadinya bagi saya kitab ini sangat bagus untuk dijadikan bahan bacaan bagi umat Islam seluruhnya kerana ianya banyak mengandungi panduan dan pedoman untuk kita menuju kearah kecantikan iman dan amal. Cuma sedikit kemuskilan kerana cetakan yang kedua belas kitab ini terlalu banyak perubahan gaya bahasanya. Jelasnya gaya bahasa dari karangan-karangan Imam Al-Ghazali yang lainnya sangatlah berbeza dari yang ini, ianya lebih halus dan indah bahasanya. Walau bagaimana pun ianya masih sebuah sumber ilmu yang bermutu.

Saya memohon ampun dari Allah jika terdapat kekurangan dari salinan saya dan saya memohon maaf dari para pembaca sekeliannya.Dan di sini hanyalah 1 bab dari 111 bab yang terkandung didalam MUKASHAFAH AL QULUB

Bab 12

iblis DAN SEKSAANNYA

Allah S.W.T berfirman: ertinya : “Jika mereka berpaling, sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang kafir.”

(Q.S. Ali Imran: 32)

Yakin Allah tidak mengampuni atau menerima taubat mereka seperti tidak diterima taubatnya iblis kerana kekufuran dan kesombongan mereka. Namun Allah menerima taubat Nabi Adam as kerana dia mengakui dosanya dan menyesalinya. Juga dia mencela dirinya. Meskipun bukan dosa yang hakiki kerana rasul itu maksum dari maksiat selamanya. Oleh kerana itu dia dan Hawa berkata:

“Kami telah menganiaya diri kami. Jika engkau tidak mengampuni kami dan tidak mengasihani kami, tentulah kami termasuk orang-orang yang rugi.”

(Q.S. Al A’raf: 23)

Adam menyesal segera bertaubat dan tidak putus asa dari rahmat Allah. Seperti firmannya: “Dan mereka tidak putus asa dari rahmat Allah.”

(Q.S. Az Zumar: 53)

Adapun iblis tidak mengakui dosanya, tidak menyesalinya, tidak mencela dirinya dan tidak segera bertaubat malah putus asa dari rahmat Allah dan sombong. Barang siapa seperti iblis, Allah tidak akan menerima taubatnya. Dan sesiapa seperti Adam Allah akan menerima taubatnya. Dosa dari syahwat masih boleh diampunkan tetapi dosa dari kesombongan tidak akan diampunkan Allah.

Maksiat Adam adalah dari syahwat. Sedangkan maksiat iblis datang dari kesombongannya.Diceritakan bahawa iblis datang kepada Nabi Musa as. Dia berkata kepadanya, “Allah telah memeliharamu dengan risalah-Nya dan berbicara padamu?”

Musa menjawab, “Ya, lalu apa yang kamu inginkan wahai iblis?”

iblis berkata, “Ya Musa, katakan kepada Tuhanmu bahawa aku hendak bertaubat.”

Lalu Musa mendapat wahyu, “Hai Musa, Kuterima taubatnya jika dia sujud pada Adam di kuburnya.” Musa menceritakan hal itu. iblis marah dan dengan sombongnya iblis berkata, “Sedangkan di Syurga aku tidak mahu sujud padanya, inikan pula dia telah mati?”
Diceritakan bahawa amat pedih seksa bagi iblis di Neraka. Maka dikatakan kepadanya, “Bagaimana seksa Allah padamu?”

iblis menjawab, “Amat pedih.” Lalu dikatakan kepadanya, “Adam berada di Syurga, sujudlah padanya dan minta ampun supaya Allah mengampunimu,” iblis menolak . maka diberatkan lagi seksaan baginya sebanyak tujuh puluh kali ganda.

Tersebut dalam khabar. Sesungguhnya Allah megeluarkan iblis dari Neraka setiap seratus ribu tahun sekali. Demikian pula Adam dikeluarkan. Lalu Allah memerintahkan iblis sujud pada Adam. Namun iblis menolak. Maka dikembalikan lagi ke Neraka.

Saudaraku, jika engkau ingin selamat dari iblis, mohonlah perlindungan dari Allah S.W.T.
Ketika datang hari Kiamat, maka diletakkan kerusi dari Neraka. iblis duduk di atasnya. Lalu syaitan dan orang-orang kafir mengelilinginya. Suaranya bagaikan suara himar. Dia berkata, “wahai ahli Neraka, sudahkah kau terima janji Allah ini?” Mereka berkata, “Sesungguhnya Allah telah menunaikan janji-Nya.” Allah berkata. “Ini adalah hari putus asa dari rahmat.” Allah memerintahkan Malaikat memukuli mereka dan pengikutnya hingga mereka berhiruk-hiruk di dalamnya sampai sehingga empat puluh tahun dan tidak dikeluarkan selama-lamanya. Na’uzubillah.
Diceritakan pula pada hari Kiamat, iblis diperintahkan duduk di atas kerusi dari api, di lehernya berkalung laknat dan Allah memerintahkan Zabaniah untuk menyeretnya dari kerusi dan dibuang ke Neraka. namun mereka tidak mampu. Lalu Allah perintahkan Jibril dan lapan puluh Malaikat untuk itu juga tidak boleh. Kemudian diperintahkan pula Israfil dan Izrail. Masing-masing membawa lapan puluh Malaikat namun mereka juga tidak upaya. Kemudian Allah berkata kepada mereka, “Kalaupun Malaikat yang telah Ku-jadikan berlipat ganda, mereka tidak akan mampu memindahkan iblis kedalam Neraka kerana beratnya kalung laknat pada lehernya."
Dirawikan bahawa nama iblis dilangit dunia ialah ‘abid. Di langit kedua, zahid. Di langit ketiga, ‘arif. Di langit keempat, wali. Di langit kelima, at taqi. Di langit yang ke enam, al-khozin dan di langit yang ke tujuh, azazil dan di Lauhul Mahfuz, iblis. Dia lupa akibat urusannya. Maka Allah SWT memerintahkannya sujud kepada Adam. Dia berkata, “apakah dia lebih mulia dari aku? Bukankah aku lebih mulia darinya? Kau jadikan aku dari api dan Kau jadikan dia daripada tanah” Allah berkata, “Aku boleh berbuat sekehendak-Ku.”
 
iblis mengira dirinya mulia. Dia berpaling dari Adam dengan bongkak, dimana Malaikat telah sujud pada Adam. Ketika mereka(Malaikat) bangun dan melihat iblis tidak sujud, maka mereka sujud kali kedua untuk bersyukur. Namun iblis tetap berpaling dari mereka tanpa menyesal.
Lalu Allah menjadikan rupanya seperti babi, kepalanya seperti unta, dadanya seperti punggung unta besar, mukanya bagaikan kera, kedua matanya sobek sepanjang mukanya, hidungnya agak berlubang lebar, bibirnya bagaikan bibir tsur, taringnya keluar bagai babi, janggutnya berbulu tujuh panjang sekali. Allah sentiasa melaknatinya sampai hari Kiamat. Kerana dia kafir. Dari Malaikat yang paling agung menjadi sedemikian rupa.
Sesungguhnya ia adalah merupakan peringatan.Tersebut dalam Atsar: Ketika Allah SWT menjadikan iblis sedemikian rupa, maka Jibril dan Mikail menangis. Allah SWT berkata kepadanya, “mengapa kamu menangis?” Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami tidak berkuasa di atas kekuasaan-Mu,” AllahSWT berkata, “Ya, sedemikian pula kalian tidak berkuasa atas kekuasaan-Ku,”
Dirawikan iblis berkata, “Ya Tuhanku, keluarkan aku kerana Adam. Aku tidak kuasa keatasnya, kecuali dengan peguasaan-Mu.”

Allah berkata, “Engkau Ku-kuasakan atasnya. Yakni, atas anak cucunya.”

Kerana para Nabi selamat dari iblis maka iblis berkata, “Berilah aku kuasa lagi,”

Allah berkata, “Setiap ia beranak kau pun beranak.”

iblis memohon lagi, “berilah aku lagi.”

Allah berkata, “Jeratlah mereka dengan tipu daya. Temanilah mereka dengan harta dan anak.

Sesatkanlah mereka dalam agama dan perbuatan yang batil. Perbuatlah sekehendakmu!”
Lalu Adam berkata, “Ya Tuhanku, Engkau telah berikan kuasa kepada iblis keatasku, maka aku tidak boleh menghalanginya kecuali dengan pertolongan-Mu.”
Allah berkata, “Setiap umatmu akan dijaga oleh Malaikat.”

Adam memohon lagi “Tambahilah aku.”

Allah berkata, “Setiap kebaikan yang dilakukan diberi pahala sepuluh kali ganda.”

Adam berkata lagi, “Tambahilah aku lagi”.

Allah berkata, “Aku terima taubat mereka selama mereka masih hidup”

Adam berkata lagi, “Tambahilah aku.”

Allah berkata lagi, “Aku ampuni mereka dan aku tidak mengira segala dosa yang dilakukan.”
Adam berkata lagi, “Baiklah aku telah merasa senang sekarang.”
 
Kemudian iblis berkata, “Ya Tuhanku, Engkau jadikan utusan kepada manusi dan Kau beri kitab. Maka siapakah utusanku dan apakah kitabku?”
 
Allah berkata, “Utusanmu tukang tenung dan kitabmu perangai buruk, hadismu bohong, Qur’an mu syair, tukang azanmu seruling, masjidmu pasar, rumahmu adalah tandas, makananmu sesuatu yang tidak disertakan dengan nama-Ku, minumanmu adalah yang memabukkan dan perangkapmu adalah perempuan.”

No comments:

Post a Comment